Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,
Ramai yang tak tahu perihal asal usul kaum bisaya di Sabah kan...
Bisaya adalah kaum pribumi yang berasal dari barat laut dan sepanjang pantai Borneo, Malaysia dan tertumpu di sekitar daerah Beaufort, Sungai Padas, Sungai Klias, Pulau Gaya di Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sungai Limbang di timur Sarawak. Bangsa Bisaya dikenali sebagai Melayu atau Islam oleh suku kaum Lun Bawang/Lun Dayeh , Dusun, dan Murut.
Bisaya dikatakan di antara yang pertama menerima Islam pada awal kurun ke-13. Ketua Bisaya yang pertama adalah Awang Alak Betatar ataupun Sultan Mohammad Shah. Peringkat awal kemasukan kaum Bisaya ke dalam Islam adalah melalui hubungan dagang dengan pedagang dari tanah Arab. Jika dilihat daripada segi kehidupan sosial, sedikit sebanyak pengaruh Arab memainkan peranan dalam urusan mereka sehari-harian. Bangsa Bisaya memiliki minat dalam bidang pertanian dan ia juga merupakan sumber utama pendapatan mereka. Suku kaum ini walaupun dikatakan berkait dengan suku Bisaya di Filipina namun suku kaum Bisaya ini hanya terdapat di Borneo iaitu Sabah dan Sarawak, Malaysia sahaja.
Mengikut legenda, nenek moyang Bisaya berasal dari satu keluarga berhijrah dan menetap di utara Pulau Borneo. Keluarga ini mempunyai 7 orang anak di mana 6 darinya lelaki iaitu Peti Berambai atau Pati Berabai, Si Garamba, Peti Garamba, Peti Runa atau Pati Bagunak, Semaun atau Si Maun dan Alak Betatar atau Urak Betatar atau Lok Batata atau Awang Alah Bertabar; dan seorang perempuan (Siti Duyah atau Duri atau Bunga Sunting).
Satu pertandingan lumba perahu diadakan untuk menentukan siapakah yang layak menjadi Raja Barunai. Perlumbaan ini dimenangi oleh Alak Betatar yang paling bongsu. Dia kemudiannya dilantik menjadi Raja Brunei yang pertama, dan kemudiannya memeluk agama islam dengan menggunakan nama Sultan Mohammad Shah, Sultan Brunei yang pertama.

Menurut kepercayaan tempatan, perkataan Bisaya berasal daripada sebutan “Bisai Iya” yang bermakna seseorang lelaki atau wanita nampak tampan dan gagah serta cantik molek. Dan setengah pendapat mengatakan ia berasal daripada perkataan "Ma Bisa" iaitu bermaksud bisa yang dikaitankan dengan ilmu sihir atau perubatan yang biasanya diamalkan oleh suku kaum ini pada ketika itu.Sebutan kemudian bertukar kepada Bisaya sehingga pada hari ini.Sama ada perkataan Bisaya itu berasal dari perkataan "Bisai Iya","Ma Bisa" dan "Bisa Iya" tiada kesahihan secara bertulis.
Sementara itu, Beyer H.O pada tahun 1926, Hester E.D pada tahun 1954 dan Harrison pada tahun 1956 menyatakan bahawa perkataan Bisaya kemungkinan berasal dari Empayar Srivijaya (Sonza, 1972). Pada tahun 1960, John Carol menyatakan bahawa perkataan Bisaya berasal dari Pahlawan Bangsa yang bernama Śrīvijaya. Derek Headly (1950) menyatakan legenda Bisaya Borneo apabila Sultan Brunei semasa kunjungannya untuk meninjau kawasan penduduk Bisaya dan baginda memberitahu “Bisai-Yah!” yang bermaksud betapa cantiknya.
Semua kenyataan diatas adalah teori dan andaian dan mungkin kita tidak pernah tahu mengenai asal perkataan Bisaya yang sebenarnya.

No comments:
Post a Comment